Khasiat dan Penjelasan
Menurut riwayat Bukhari yang berasal daripada Abu Hurairah, bahawa pada suatu hari, Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam telah mengutus kepada Abu Hurairah untuk mengelola zakat pada bulan Ramadhan. Tiba-tiba datanglah seorang lelaki mengambil segenggam makanan, lalu orang itu dipegang oleh Abu Hurairah seraya ia berkata:
"Sungguh, kamu akan kulaporkan kepada Rasulullah."
Dengan ketakutan, orang itu berkata: "Sungguh, aku adalah orang yang amat miskin dan mempunyai keluarga yang banyak, kerana itu aku amat memerlukan makanan."
Mendengar ucapan yang bernada sedih itu, akhirnya Abu Hurairah melepaskannya. Dan pada pagi harinya, Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bertanya:
"Wahai Abu Hurairah, apa yang diperbuat oleh tawananmu malam tadi?"
Abu Hurairah menjawab: "Wahai Rasulullah, ia mengeluh amat memerlukan makanan, kerana ia mempunyai keluarga yang banyak, sebab itu aku merasa kasihan kepadanya, lantas ia kulepaskan."
Beliau bersabda: "Sesungguhnya ia telah membohongi engkau dan ia akan datang lagi."
Abu Hurairah pun percaya, bahawa ia akan datang lagi kerana Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam telah mengatakan hal itu kepadanya, dan ia berjaga-jaga dengan penuh waspada. Kemudian orang itu datang lagi dan mengambil segenggam makanan, lalu Abu Hurairah menangkapnya seraya berkata:
"Sungguh kamu akan kulaporkan kepada Rasulullah."
Orang itu berkata dengan nada ketakutan:
"Maafkan aku, kerana sesungguhnya aku adalah orang miskin lagi pula mempunyai ahli keluarga yang ramai, aku berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan ini."
Mendengar ucapan yang penuh haru itu,Abu Hurairah merasa kasihan dan akhirnya orang itu pun dia lepaskan. Pada pagi harinya, Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam datang kepada Abu Hurairah seraya bertanya:
"Wahai Abu Hurairah, apa yang diperbuat oleh tawananmu malam tadi?"
Abu Hurairah menjawab: "Wahai Rasulullah, ia mengeluh minta dikasihani lagi pula ia amat memerlukan makanan, kerana mempunyai ahli keluarga yang ramai, sebab itu aku merasa kasihan kepadanya, lantas ia kulepaskan."
Beliau bersabda: "Sesungguhnya ia telah membohongi engkau dan ia akan kembali semula."
Kemudian Abu Hurairah menjaganya benar-benar untuk ketiga kalinya. Tiba-tiba orang itu pun muncul lagi dengan mengambil segenggam makanan, lalu orang itu ditangkap oleh Abu Hurairah seraya ia berkata:
"Sungguh, kamu akan kulaporkan kepada Rasulullah." Ini adalah perbuatanmu yang ketiga kalinya di mana kamu berjanji tidak akan mengulanginya lagi, tetapi ternyata kamu datang lagi dan mengulangi perbuatanmu."
Orang itu berkata: "Maafkan aku, sesugguhnya aku ingin memberitahumu tentang beberapa kalimat yang mana Allah memberi manfaat kepadamu dengannya."
Abu Hurairah bertanya: "Kalimat-kalimat apakah itu?"
Orang itu menjawab: "Apabila kamu hendak tidur, maka bacalah ayat Kursi yang berbunyi:
"Allaahu Laa ilaaha illaa Huwal Hayyul Qayyuum"
hingga akhir ayat (lihat apa yang tertera di atas). Seandainya kamu membacanya, nescaya Allah selalu memberi perlindungan dan syaitan tidak akan datang kepadamu hingga waktu pagi."
Kemudian orang itu pun dilepaskan oleh Abu Hurairah. Dan pada pagi harinya, Rasulullah Shallalahu 'Alaihi Wasallam datang lagi kepada Abu Hurairah seraya bertanya:
"Wahai Abu Hurairah, apa yang diperbuat oleh tawananmu malam tadi?"
Abu Hurairah menjawab: "Wahai Rasulullah, ia telah memberitahu aku tentang beberapa kalimat yang mana Allah memberi manfaat kepadaku dengan beberapa kalimat itu, kerana itu ia kulepaskan."
Beliau bertanya: "Kalimat-kalimat apa itu?"
Abu Hurairah menjawab: "Orang itu berkata kepadaku: "Apabila kamu hendak tidur, maka bacalah ayat Kursi dari awal sampai akhir, iaitu ayat: "Allaahu Laa ilaaha illaa Huwal Hayyul Qayyuum", dan ia berkata pula kepadaku: "Nescaya Allah selalu memberi perlindungan kepadamu dan syaitan tidak akan datang kepadamu hingga ke pagi."
Kemudian beliau bersabda: "Sesugguhnya ia telah berkata benar kepadamu walaupun ia adalah pendusta.
Dan tahukah kamu, siapakah yang datang kepadamu selama tiga malam berturut-turut itu, wahai Abu Hurairah?"
Abu Hurairah menjawab: "Wahai Rasulullah, aku tidak tahu."
Beliau menjelaskan: "Ia adalah Iblis."
Post a Comment
Jihad Al-Quran
0 comments: