Dukacita, ialah penyakit
yang timbul lantaran terlampau kuatnya keterikatan dengan dunia ini.
Keterikatan itu pasti ada selama kita hidup iaitu keterikatan dengan
anak, isteri dan sebagainya. Kerana kehilangan orang yang dikasihi atau
orang yang disukai. Sebab dari timbulnya dukacita itu, kerana terlalu
besar mementingkan keperluan jasmani, dan syahwat tidak terbatas
sehingga timbul kepercayaan bahawa barang yang dicintai itu tidak boleh
berpisah-pisah selama-lamanya dari badan. Padahal kalau manusia telah
tenteram hatinya, sihat badannya, dan cukup pula yang akan di makan pagi
dan petang, itulah orang yang sekaya-kayanya dan sesenang-senangnya.
Kalau sudah begitu masih merasa dukacita
juga, tandanya orang itu kurang akal dan kurang budi. Timbul penyakit
dukacita ialah lantaran menyedari keberuntungan yang telah berlalu, atau
takut menghadapi bahaya yang akan datang, atau kerana memikirkan bahawa
yang ada sekarang ini masih belum cukup dan serba kurang.
1. Dukacita Memikirkan Yang Telah Lalu
Kalau manusia berdukacita memikirkan
keberuntungan, kekayaan dan kemuliaan yang telah hilang, kedukaan itu
tidak berfaedah sama sekali, sebab segala kejadian yang telah lalu
walaupun bagaimana meratapinya, tidaklah akan kembali. Sedangkan masa
dua minit yang lalu, walaupun dikejar dengan mesin terbang, yang
sekencang-kencangnya atau yang melebihi kecepatan suara, tidaklah dapat
dikejar. Apa guna meratapi yang telah lalu, dia tak akan pulang, dan
lantaran diratapi, dia boleh merosakkan badan.
Kedukaan yang begini timbulnya lantaran
tidak berkeyakinan bahawa segala isi alam ini asalnya tidak ada,
kemudian itu ada dan akhirnya akan lenyap. Kemuliaan, ketinggian,
kemajuan kecintaan yang disayangi anak dan isteri, harta benda, semuanya
akan datang kepada kita dan akan pergi dari kita. Kalau tidak kita yang
pergi lebih dahulu, tentu mereka. Sebab kepergian itu berdahulu,
berkemudian juga.
Mengubat dukacita ini tidak lain
hanyalah dengan menjaga yang tinggal sekarang. Kerana semuanya ini, baik
yang telah pergi dan hilang atau yang sedang ada, apalagi yang akan
datang, semuanya itu nikmat. Jangan sampai lantaran meratapi nikmat yang
hilang, kita lupa akan nikmat yang ada. Nanti yang ada itu, setelah
hilang diratapi pula.
Dalam pepatah ada tersebut: "Kalau ada jangan harap, kalau hilang janganlah cemas.”
Di waktu nikmat membanjir, hendaklah
syukuri, letakkan ditempatnya. Insaf bahawa barang ini hanyalah
pinjaman. Jika nikmat yang sangat dicintai itu masa muda, gunakanlah
masa muda itu dengan baik, dan yakini masa muda itu tak lama. Kalau
dipergunakan dengan baik, kelak kalau sampai tua, kita tidak menyesali
kepergiannya lagi, melainkan tersenyum dan bangga bahawasanya semasa
muda dahulunya, kita telah berbuat baik.
Kalau nikmat yang membanjir itu harta
benda, kekayaan dan kemuliaan, peliharalah dan gunakan dengan baik.
Jangan dilupakan bahawa dia akan pergi. Jangan hanya diingat semasa
'saya kaya dahulunya'. Ingat pula yang sebelum itu, iaitu 'Semasa saya
lahir dahulunya'.
Seketika Maharaja Iskandar Zulkarnain
akan menghembuskan nafasnya yang penghabisan, setelah menaklukkan
negeri-negeri Persia dan India, setelah dirasakannya bahawa telah sampai
waktunya kembali ke akhirat, maka Maharaja yang muda belia itu
mengumpulkan orang-orang besarnya dan berkata: "Bilamana aku mangkat,
letakkan mayatku dalam peti, bawa ke negeri Persia dan Mesir dan ke
segenap jajahan yang telah aku taklukkan. Dari dalam peti hendaklah
hulurkan kedua belah tanganku yang kosong, supaya orang tahu bahawa Raja
Iskandar yang berkuasa, walau bagaimana kuasa sekalipun, dia kembali ke
akhirat dengan tangan kosong juga. Jika ibu dan ahli rumahku hendak
meratapi mayatku, janganlah dilarang mereka meratap, cuma suruh saja
cari dua orang yang akan jadi temannya, iaitu orang yang tidak akan mati
selama-lamanya, dan orang yang tidak pernah kematian. Kalau yang berdua
itu telah ada, bolehlah mereka meratapi aku."
2. Dukacita Memikirkan Yang Sekarang
Kalau orang berdukacita memikirkan yang
sekarang barangkali orang ini berdukacita kerana orang lain dapat
nikmat, dia tidak. Atau kerana melarat hidupnya, dan cita-citanya yang
sentiasa tak berhasil. Barangkali dia kekurangan harta, kurang mulia.
Barangkali juga dia tidak duduk sama rendah, tegak sama tinggi dengan
orang lain.
Sebabnya orang ini berdukacita, ialah
lantaran dia tak tahu rahsia kehidupan dan dunia. Dia tidak tahu dunia
ini kandang tipuan. Ini hari disenyumkannya kita, esok ditangiskannya.
Kalau hendak mengubati penyakit ini, janganlah diingat tatkala Napoleon
jadi kaisar saja, tetapi hendaklah diingat pula semasa dia mati di tanah
pembuangan di Pulau St. Helena. Kalau difikirkan sampai ke sana,
timbullah syukur dalam hati, mujurlah saya dalam keadaan yang begini.
Secinta-cinta orang kepada perempuan cantik, kalau difikirkannya akhir
akibat perempuan itu, akan kuranglah cintanya. Sebab rahsia dunia ini
ganjil sekali. Tiap-tiap kemuliaan mengandung racun, dan tiap-tiap
kesengsaraan mengandung faedah. Manusia hidup di dunia diancam dengan
tiga anak panah. Panah kejatuhan, panah penyakit, dan panah kematian.
Lihatlah garis perjalanan dunia,
peredaran politik tiap hari, lihat dan baca. Jangan dilihat dan dibaca
saja, perhatikan pula akibatnya. Cuba lihat negeri Austria di masa yang
lalu menjadi pusat Kerajaan Austria Hungaria. Kemudian jadi satu
bahagian kecil dari Jermania Raya. Kemudian jadi kota kecil yang miskin.
Kekayaannya hanya semata-mata sejarah. Lihat pula negeri Jerman,
menjadi kerajaan yang kalah, kemudian naik daun, kemudian kalah dan
bangkit menjadi bangsa yang kuat. Demikian keadaan negeri, demikian pula
raja-raja. Itulah hidup.
Kalau diperhatikan segala kejadian ini
dengan saksama, tidaklah orang akan berhiba hati memikirkan kekurangan
diri dan nasib, tidak pula akan tercengang melihat kenaikan dan
kejatuhan orang lain, tidak harap lantaran dapat untung, dia tidak cemas
lantaran beroleh rugi.
Janganlah menyangka, bahawa 'hidup' itu
hanya bernafas, hanya makan dan minum. Carikan segala ikhtiar untuk
memperbanyak pengalaman dan ilmu dari edaran alam. Berjalanlah ke
pasar-pasar, ke muka-muka pejabat bank. Lihatlah bagaimana seorang kasir
payah-payah menghitung-hitung wang berjuta-juta tiap hari, sedang
gajinya hanya 600 rupiah (60 sen) sebulan. Jangan pula lupa melihat anak
kecil dan perempuan-perempuan tua yang duduk di muka bank itu. Duduk
berlindung di cucuran atapnya, kerana tidak mempunyai rumah. Batasnya
dengan tempat penyimpan wang berjuta-juta itu hanya sebatas dinding,
tetapi bukan dia yang punya. Cuba periksa apakah tuan yang menguasai
bank itu bersukacita dan gembira lantaran wang banyak? Pernahkah tuan
itu susah? Pernah! Dia menyusahkan wangnya yang banyak, dan perempuan
dan anak kecil dan nenek tua yang duduk di muka bank itu menyusahkan
wang pembeli nasi tak ada. Cuma yang disusahkan yang berlainan, darjat
susah sama.
Semasa agama Islam mulai dibangkitkan,
Rasulullah SAW melarang sahabat-sahabatnya ziarah ke kuburan, takut
kepercayaan dan iktikad mereka akan rosak kembali, kerana mereka masih
dekat dengan zaman jahiliah. Tetapi setelah tiba di Makkah, larangan itu
baginda cabut buat kaum lelaki, mereka dibolehkan ziarah ke kubur.
Lantaran ziarah ke kubur menimbulkan ingatan kepada kematian. Tidak
berapa lama kemudian, perempuan-perempuan diberi pula keizinan, untuk
menjadi iktibar.
Ahli-ahli tasauf banyak ziarah ke
dekat-dekat penjara, ke rumah sakit, ke tempat-tempat orang miskin yang
melarat, bahkan mereka singkirkan (elakkan) mendekati istana-istana.
Apakah guna semua itu? Ialah untuk
menimbulkan keinsafan bahawa kita tak boleh berdukacita atas kesusahan,
dan tak boleh bergembira benar atas kemuliaan, kerana dunia ini penuh
rahsia.
Dalam urusan kehidupan hendaklah
mengadap kepada orang yang lebih atas jangan terbalik, supaya tidak
hilang pedoman. Itulah maka kerapkali bila ditanya seorang yang salah:
Apa sebab engkau berbuat kesalahan ini? Dia menjawab: Sedangkan tuan Anu
berbuat demikian.
Jika ditanyai, mengapa engkau
menghabiskan umur begini dalam hidupmu? Dia menjawab: Aku sangat ingin
bermegah-megah semacam si Anu.
3. Dukacita Memikirkan Yang Akan Datang
Jika orang berdukacita memikirkan masa
yang akan datang, tentu yang dia fikirkan satu dari dua macam kejadian,
iaitu yang pasti datang dan yang barangkali datang.
Yang pasti datang adalah mati dan tua,
mustahil menolaknya. Hal itu tak usah diulang lagi. Duka mengingat akan
tua dan mati, adalah duka kerana jahil.
Kalau hal itu masih boleh ditolak, lebih
baik jangan dihabiskan hari dalam berdukacita, tetapi lekas-lekaslah
sediakan segala usaha penolak yang ditakuti itu. Kalau hanya berdukacita
saja, tentu dia datang juga, tandanya kita tidak percaya adanya kudrat
dan iradat Allah. Di sinilah perlunya persediaan 'tawakkal' serahkan
keputusan itu kepada Allah SWT.
Itulah maksud firman Tuhan:
"Tiadalah menimpa suatu musibah di dalam bumi ini, atau di dalam dirimu
sendiri, melainkan semuanya itu telah tertulis di dalam Kitab, sebelum
ia terjadi dahulunya. Semuanya itu bagi Allah mudah saja. Supaya
janganlah kamu sekalian berdukacita mengingat barang yang telah hilang
dan jangan pula bersukacita atas barang yang datang kepadamu, dan Allah
tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong dan membanggakan diri."
(QS Al-Hadid: 22~23)
Orang sangat takut bahaya yang akan
datang, kerana hatinya lekat kepada dunia dan sombong lantaran nikmat
dunia. Dia tidak ingat kepada pepatah: "Bukanlah malam itu sentiasa
berbuat kebaikan kepada manusia. Tetapi kebaikan itu kelak akan
diikutinya dengan kesusahan."
Wallahua'lam.
(Sumber: TASAUF MODEN oleh Prof. Dr. Hamka)
Post a Comment
Jihad Al-Quran
0 comments: