KISAH KISAH DI INDONESIA
Kenangan Semasa Di UI Salemba – Siri 12 – Zalilah Manan
[Foto Hiasan semata-mata]
Semerbak harum wangian bunga mawar menerpa hidungku saat pintu dewan kuliah Obgin (obstetric dan ginekologi – perbidanan dan sakit puan) aku buka. Sebahagian besar rakan rakanku telah bersedia di tempat duduk masing-masing. Rapi, tampan dan manis. Masing-masing mengenakan kot putih yang biasanya kami pakai hanya bila berada di klinik atau wad hospital. Meja panjang di depan dewan kuliah siap dipasang alas meja putih bersih dengan sebuah vas kecil berisi tiga kuntum bunga ros merah diletakkan di hujung meja.
Nama Prof. Ratna Suprapti Samil adalah satu nama besar dan digeruni di department Obgin. Bertubuh sederhana, mempunyai wajah manis keibuan, ala-ala kacukan Belanda. Prof Samil terkenal dengan ketegasan dan ketinggian disiplinnya. Mahasiswa mesti sentiasa kemas, sentiasa focus, duduk tegak penuh perhatian, ruang kuliah mesti harum dan dihias cantik dengan tiga kuntum ros merah, tidak kurang atau lebih.
Topik umum matakuliah ajaran beliau ialah Etika Kedokteran. Mahasiswa akan membuat pembentangan, komentar, perbahasan dan beliau akan memberi rumusan terakhir. Agar kelihatan lebih berwibawa, kami biasanya telah berpakat dan berbincang terlebih dahulu tentang topik-topik, soalan serta jawapan yang akan dibentangkan sehingga beliau tidak berpeluang menimbulkan persoalan lain. Bagi kami semua, jangan sampai Prof. Samil yang bertanya soalan, jika itu terjadi, kami semua berisiko ditimpa masalah besar.
Hari itu kumpulanku yang terdiri dari Yanti sebagai speaker, aku komentator pertama, Sondang dan Ari komentator kedua dan ketiga akan menyampaikan pembentangan kertas kerja kami bertajuk “Eutanasia” yang bermaksud menghentikan bantuan atau membiar kematian tanpa menyebabkan kesakitan kepada pesakit kronik yang tidak ada harapan sembuh. Topik yang agak sukar diulas kerana melibatkan etika, hukum agama, norma-norma dan budaya setempat. Juga tidak banyak bahan rujukan dan kasus yang boleh dijadikan perbahasan. Kami mendapat topik secara undian, mungkin kumpulan kami kurang bernasib baik.
“Dinginnya tangan kamu.” Kata Sondang kepadaku ketika meraih tanganku saat aku mengambil tempat duduk disebelahnya di barisan paling hadapan.
“Sama aja seperti tanganku!” kata Sondang lagi sambil ketawa dan menggenggam erat tanganku. Aku ikut ketawa cuba menghilangkan perasaan gementar yang dirasakan.
“Tenang aja, kita kan punya speaker yang paling hebat. Prof Samil pasti akan kagum dengan kumpulan kita.” Sampuk Ari yang memang punya perawakan tenang dalam situasi apapun. Memang speaker kami Yanti adalah antara yang terbaik bukan hanya dalam kumpulan Obgin sekarang tapi dalam seluruh angkatan kami.
Pembentangan Yanti berlangsung lancar hingga ke akhir. Moderator seterusnya memanggilku untuk komentar. Memang tidak dapat dibayangkan betapa gementarnya aku waktu itu. Aku bangun kemudian sedikit menunduk ke arah Prof Samil yang kelihatan tersenyum.
“Sepertinya Prof Samil bersetuju dengan pembentangan kumpulan kami.” Aku berbisik kepada diriku sendiri.
Aku memulakan komentarku dengan memberi rujukan kepada sebuah artikel yang aku baca dari majalah Times. Prof Samil mendengar dengan penuh minat dan sangat berbangga dengan persoalan yang aku lontarkan, tambahan pula ia berdasarkan petikan dari majalah bahasa inggeris ternama. Rupa-rupanya beliau sangat menggalakkan mahasiswa memperluaskan wawasan dengan membaca bahan lain selain yang berkaitan medical. Hanya kerana secebis atikel yang pada mulanya aku cuba gunakan dengan niat berlagak, tiba-tiba aku mendapat pujian segunung. Kumpulanku pula mendapat markah presentasi tertinggi dan dua orang komentator lain terselamat dari disidang oleh beliau. Nasib kumpulan yang tadinya kami fikir kurang baik ternyata berubah.
Romantika menjadi ibu
[Cuma Foto Hiasan]
Unit obgin sudah barang tentu memerlukan kami melakukan praktikal. Seperti unit-unit lain, kami perlu bertugas di klinik dan wad. Kami perlu menyambut kelahiran 30 orang bayi, mengikut 10 pembedahan kelahiran dan 10 pembedahan sakit puan dalam masa tiga bulan yang diperuntukkan.
Aku masih ingat bagaimana aku terketar-ketar menyarungkan sarung tangan ketika akan menyambut kelahiran bayi kes pertama aku. Aku telah memantau pasien ini sejak lebih enam jam yang lalu. Bermula dari wad biasa, kini sudah dipindah ke bilik bersalin. Perutku ikut-ikutan sakit demi melihat perut pasien yang sebentar-sebentar mengeras dan menegang kemudian menghilang, kemudian mengeras lagi.
Sekali sekala aku memantau bunyi jantung janin. Si ibu kadangkala gelisah, kadangkala terlihat pasrah. Berpusing ke kanan tidak kena, ke kiri juga tidak selesa, terlentang lebih lagi, serba tidak menyenangkan. Suntikan yang telah diberikan juga sepertinya tidak membawa apa-apa kesan. Sungguh aku simpati tetapi tidak dapat berbuat apa-apa. “Itulah romantika menjadi ibu.” Aku berbisik kepada diri sendiri.
Peluh memercik di dahi ibu muda itu yang akan melahirkan anak sulungnya. Entah kerana kesakitan yang datang pergi yang telah ditanggung sejak berjam-jam yang lalu atau entah kerana panik memikirkan akan dibantu oleh seorang mahasiswa yang praktikal buat pertama kali. Walau aku juga gementar, aku cuba menunjukkan wajah penuh simpati dan memberikan keyakinan bahawa aku akan membantu pasienku itu sebaik mungkin.
Inilah saat yang dinanti-nantikan, aku lantas mencapai gunting yang telah tersedia sambil membayangkan gambarajah di dalam buku teks lalu ‘krruupp’ aku membuat guntingan di tempat yang tadi telah aku suntikkan ubat bius. Darah yang memercik dari luka guntingan membuat aku mengelabah seketika, namun setelah mengingat itu adalah keadaan natural bagi sesebuah luka, aku bertenang semula.
Aku terus memberi kata-kata semangat kepada pasienku yang sudah keletihan. Sewaktu-waktu menyuruhnya beristirehat sebentar semasa perutnya tiada kontraksi. Apabila kepala bayi semakin jelas kelihatan...
“Satu, dua, tiga…ngedannn buu!!!” Dengan sepenuh tenaga, seluruh kepala bayi kini sudah keluar. Aku cepat-cepat mengesat hidung, mulut dan mata bayi dari basahan air ketuban. Sekali lagi dengan kerjasama si ibu, aku menarik kepala bayi kearah bawah dan atas bagi mengeluarkan bahu yang disusuli badan dan seluruh anggotanya. Bayi pertamaku berjaya dilahirkan.
Perlahan-lahan bayi aku letakkan di atas perut ibunya yang sudah dilapisi kain balutan bayi. Aku terus mencapai klem dan mengepit tali pusat bayi di dua tempat. Bahagian berdekatan pusat aku ikat dengan seutas benang tebal dengan kemas. “kruupp” sekali lagi aku menggunting, kini tali pusat dengan sebilah gunting khusus yang kelihatan seperti paruh burung nuri.
“Kueekk!, kueek!...” tangisan bayi yang kuat dan nyaring merupakan petanda bayi sihat dan tiada masalah. Walau tanganku masih sedikit menggigil, aku mengangkat bayi kecil itu untuk di tunjukkan kepada si ibu bagi pengesahan jantina bayi. Pergelangan tangan bayi kemudian dipasangkan tanda nama yang mempunyai nama dan nombor pendaftaran serupa dengan ibunya.
Bayi dilap kering lalu dibungkus dan diserahkan kepada si ibu. Terpancar kegembiraan di wajah si ibu, air jernih tergenang dikelopak mata. Tidak lagi si ibu ingat akan kesakitannya tadi, tidak lagi si ibu peduli lukanya masih berdarah dan belum dijahit. Segala galanya tertumpu kepada si bayi, mau diselesakan, mau disusukan, sedang bayinya dengan bijak memulakan penyusuan pertama. Itulah saat paling indah dalam sebuah kelahiran. ‘Bonding’ anak dan ibu.
Tugas aku belum selesai, masih perlu melahirkan uri atau plasenta, masih perlu menutup kembali luka dari guntingan yang aku buat tadi, masih perlu memantau keadaan si ibu dan tentunya menulis laporan lengkap tentang kelahiran itu.
Hilanglah sebahagian keberkatan seorang anak setelah ibunya tiada. Berbaktilah dan sayangilah ibu anda selagi mereka masih ada….Ibu, permulaan kita semua…
Creadit To : lokman
Post a Comment
Jihad Al-Quran
0 comments: