“Malam adalah masa untuk bersedih..” Tulisan ini membuatkan saya terfikir.
Adakah hari-hari kita harus dilalui bersama perasaan sedih berpanjangan? Apakah takdir ini terbeban ke atas kita sepanjang masa?
Saya yakin, setiap insan di dunia ini
pasti pernah merasainya. Kita sedih kerana diperlakukan sesuatu tanpa
kerelaan, ditengking, dimarahi, diejek dan dikeji, dihinakan, atau
mendapat sesuatu musibah tak dijangka misalnya kematian, kesusahan,
kegagalan hidup, sukar mendapat jodoh, kesakitan serta pelbagai
rona-rona rasa yang lainnya. Semangat terus lumpuh ke tahap terkebawah.
Ketika saat
itu juga, hati kita menjadi rawan berpanjangan, emosi meruntun hiba,
sedih bersangatan. Lalu termenung sendiri sambil menyeka air mata yang
berjujuran. Air yang dihirup tidak lagi dirasa lazat, tetapi umpama
duri-duri yang bercerucuk di kerongkongan. Diri lantas dipersalahkan,
bahkan rasa sesal menjadi manusia bermain-main di kotak minda.
Sedangkan Allah SWT telah berfirman:
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?”
“Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)
Bagi yang tidak kuat pegangan agamanya, lemah imannya, maka jalan terakhir ialah dengan cara bunuh diri. Nauzubillahhi minzalik. Pada hematnya, cara ini mampu mengurangkan tekanan yang dialami.
Tidak! Kenyataan ini tidak benar sama sekali. Bukan caranya kita
bersedih lalu berusaha menjauh diri dari Ilahi atau menempah pintu-pintu
neraka.
ADA PENAWARNYA
Setiap penyakit ada penawarnya, kecuali
bila ajal mula mendekati – tiada penawar lagi. Justeru, indahnya Islam
kerana di sana letaknya tegahan tetapi ada suruhan (bimbingan), adanya
penyakit turut bersamanya penawar.
Kerana itu sahabat
Baginda apabila merasa runsing dan bersedih hati, mereka langsung
mendapatkan motivasi dari Rasulullah SAW agar pencerahan kembara Ilahi
jelas tanpa was-was. Mereka segera kembali kepada jalan al-Quran
dan Sunnah bukan mengikut telunjuk hati yang rawan ataupun syaitan yang
membisikkan kenistaan.
Ayuh! Usahlah terus bersedih,
bangkitlah.. jangan jadi orang ‘kalah’ lagi. Hamparkan sejadah, lalu
bertawajuh dan menadahkan tangan memohon bantuan dari-Nya. Engkau tidak
keseorangan.
Di bawah ini saya selitkan doa merawat kesedihan, cubalah baca dan amalkan.
Terdapat di dalam musnad Imam Ahmad dan
sohih Ibnu Hibban, daripada Abdullah Ibnu Mas’ud r.a bahawasanya Nabi
Muhammad SAW telah bersabda:
“Tidaklah sama sekali berkata mana-mana hamba apabila dia dilanda kebimbangan (tentang perkara akan datang) atau kesedihan (merujuk perkara yang telah berlalu); (dengan cara berdoa sebagaimana berikut):
Maksud doa: “Ya Allah! Sesungguhnya aku hamba-Mu, juga anak hamba lelaki-Mu (ayahku) dan anak hamba perempuan-Mu (ibuku). Dahiku berada di tangan-Mu (Engkau bebas mengawal dan menentukan arahnya; kebaikan atau keburukan yang ditujunya). Sudah berlalu pada diriku keputusan-Mu. Sememangnya adil buat diriku (apa jua) ketentuan-Mu.
(Justeru), aku memohon kepada-Mu dengan semua nama yang selayaknya buat-Mu; yang Engkau namakan dengannya diri-Mu, atau yang Engkau turunkannya dalam kitab-Mu, atau yang Engkau ajarkannya kepada salah seorang daripada makhluk-Mu (Nabi Muhammad SAW) atau yang Engkau (sengaja) sembunyikan tentangnya di alam ghaib di sisi-Mu..
Supaya Engkau jadikan al-Quran sebagai musim bunga (berasa tenteram dalam) hatiku, cahaya di dadaku, keluar daripada (belenggu) kesedihan, dan penghilang kebimbanganku.”
Sambungan hadis Baginda SAW:
“Melainkan pasti Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Agung menghilangkan kebimbangannya dan menggantikan buatnya tempat kesedihan tersebut dengan kegembiraan.”
Mereka (para sahabat r.a) berkata: “Wahai Rasulullah! Semestinya ke atas kami mempelajari bilah-bilah kata ini.”
Nabi menegaskan: “Benar! (Bukan setakat kamu; bahkan) semestinya kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya perlu mempelajarinya.”
Janganlah bersedih wahai jiwa, sekiranya
engkau beriman kepada Allah SWT, percaya kepada ketentuan qada’ dan
qadarnya – hikmah tersembunyi. Jangalah bersedih wahai jiwa yang tenang,
kerana bersangatan sedih itu membuatkan dirimu dinodai Syaitan.
Janganlah bersedih wahai jiwa yang lara, kerana bersama engkau ialah
Tuhan Yang Maha Mendengar rintihan hamba-hambanya.
Ingatlah, Allah Yang Satu itulah yang
mengobarkan kemenangan insan terdahulu, yang mengatur urusan manusia
sebelum-sebelumnya. Malah ada urusan mereka lebih sulit dari kita.
Selalulah bersyukur dan mengingati Allah SWT.
La tansa zikrullah.
Nah, lekas hilangkan airmata dukamu beriringan penawar tersedia!
Nur Yasmin - Artikel ini di post oleh : faridrashid. Cuba dan Amalkan
Artikel Yang BerKenaan :
Doa Untuk Orang BerCinta
Post a Comment
Jihad Al-Quran
0 comments: