Ada satu penyakit dalam kalangan mereka yang belajar dalam pengkhususan agama. Penyakit ini pasti bukanlah berlaku kepada semua, tetapi wujud pada sebahagian mereka.
Penyakit itu ialah menutup mulut orang-orang yang bukan 'ustaz/ustazah' untuk memberikan pandangan dalam ilmu agama atau menyumbangkan tenaga dalam dakwah. Alasannya hanyalah 'kau bukan ustaz, kau bukan ustazah'.
Adakah ini alasannya untuk kita menafikan dan tidak memberikan hak untuk mereka yang bukan ustaz/ustazah untuk bercakap? Seharusnya kita mencari banyak lagi alasan lain untuk menegur mereka. Sebagai contoh, kemukakan kesalahan mereka - dalam ucapan atau penulisan - maka tegurlah mereka berdasarkan kesalahan mereka tadi dan perbetulkan.
Tindakan menutup mulut tanpa sebab kukuh akan menyebabkan golongan yang bukan ustaz ini lama-kelamaan akan memberontak dan mungkin mereka pula akan terkeluar dari batasan - iaitu mereka akan menghentam kembali para ustaz ustazah kerana melakukan kesilapan. Ini akan meluaskan lagi jurang antara mereka (pendakwah bukan ustaz/ustazah) dan ustaz/ustazah sendiri.
Saya sebagai ustaz kerap kali bertemu dengan orang-orang yang memang bukan ustaz/ustazah tetapi mengetahui dan berilmu tentang apa yang mereka ucapkan atau tulis. Apa tindakan saya? Memuji, memberikan galakan dan memberikan 'bantuan' dan idea. Itu yang sepatutnya. Bimbing dan berkongsi ilmu, bertukar pandangan dan berbincang. Tidak seharusnya saya merasa marah hanya kerana mereka tahu apa yang saya tidak tahu. Ini kerana mereka juga ada perkara yang tidak diketahui dan bertanya kepada saya juga para ustaz/ustazah lain. Itukan lumrah?
Ya, saya akui memang ada orang-orang begini yang sudah sampai ke tahap tinggi seolah-olah tidak perlukan lagi nasihat para ustaz/ustazah. Apa nak buat, begitulah juga lumrahnya yang kadangkala kita temui. Apabila diajukan nasihat dan teguran, kata-kata pedas dan angkuh yang dibalas. Apa nak buat, nasihat kita dianggap sebagai 'menyekat' dan 'menghalang'.
Tetapi tidak kurang yang positif dengan nasihat para ustaz lalu berusaha menambah ilmu dan memperbaiki kesilapan. Alhamdulillah, tahniah untuk mereka.
Adalah amat tidak adil dan menyalahi akhlak Islam apabila kita menyekat golongan bukan ustaz/ustazah dari berdakwah. Malah yang sepatutnya dan sewajibnya ialah kita galakkan mereka dan berikan dorongan untuk berdakwah dengan syarat:
'Berdakwah berdasarkan ilmu dan jangan sesekali merasa cukup dengan ilmu yang ada'
wallahu a'lam...
Nasihat untuk saya, ustaz/ustazah dan para pendakwah umumnya...
Post a Comment
Jihad Al-Quran
0 comments: