Assalamu'alaikum wbt.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang~
Daripada Aisyah r.ha. katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Dijadikan
manusia ini di atas 360 sendi, oleh yang demikian mana-mana orang yang
bertakbir kepada Allah, bertasbih kepada Allah, berzikir kepada Allah,
minta ampun daripada Allah dan membuang ranting atau duri-duri di
jalanan, mereka menyeru yang makruf dan juga melarang yang mungkar,
bererti orang itu berusaha untuk dirinya daripada api neraka.” (Riwayat Muslim)
Demikian
sabda Rasulullah SAW menyatakan mengenai kejadian manusia yang
mengandungi 360 sendi, di mana setiap sendi itu Allah mengkehendaki
dikenakan cukai. Sedekah dan zikir kepada Allah adalah cukai sendi itu.
Jika
tidak dengan bersedekah maka Allah mengkehendaki kita bertakbir kepada
Allah, bertahmid, beristighfar dan bertasbih. Dengan demikian harga
sendi yang Allah ciptakan itu tidak semestinya dibayar dengan wang
ringgit yang disedekahkan, tetapi juga hendaklah dengan sentiasa
mengingati-Nya.
Dengan
menyebut nama Allah itu bererti mengekalkan ingatan makhluk terhadap
Khaliq-Nya. Sebagai tanda syukur kerana sendi yang berjumlah 360 ruas
itu membolehkan manusia bergerak dengan sempurna, melangkah dengan
teratur, menghayun tangan bagi mengimbangi langkah, menoleh ke kanan dan
ke kiri menggerakkan jari bagi melakukan sesuatu pekerjaan yang berat
mahupun yang ringan.
Malah
seribu satu macam pergerakan yang kesemuanya merupakan nikmat yang
tidak terhingga. Bayangkan jika manusia diciptakan tanpa sendi, sudah
pasti sukar untuk melakukan pergerakan. Segalanya sentiasa terbatas.
Tanpa sendi, manusia persis bagai pohon kayu atau benda-benda yang kaku.
Dan tidak lagi dinamakan sebaik-baik kejadian.
Harga
yang Allah kehendaki itu adalah mampu dibayar atau dilaksanakan oleh
manusia. Bersedekah sama ada wajib(zakat) atau sedekah sunat adalah
mampu dilakukan. Ini kerana rezeki yang Allah kurniakan kepada manusia
adalah memudahkan kerja-kerja sedekah itu.
Bagaimanapun,
harga kepada setiap sendi masih ada lagi yang lebih mudah, iaitu
mengingati Allah dengan takbir, tahmid, istighfar dan juga tasbih. Dan
mengingati Allah itu boleh dilakukan di mana sahaja setiap saat dan
ketika.
Mengingati
Allah bukan sahaja di bibir, tetapi zikir atau mengingati Allah yang
sebenarnya adalah di dasar hati, pastilah kerja hati tiada siapa pun
yang boleh menghalang. Dan yang paling penting dengan pengertian zikir
atau mengingati Allah SWT ialah segala perlakuan hidup ini kesemuanya
dalam lunas ketaatan dan dikawal syariat. Sesungguhnya segala maksiat
dan sifat ingkar itu terjadi apabila manusia lupa kepada Allah SWT.
Wallahu'alam...
Sumber: Majalah AsuhCreadit To : http://cinta-rabb.blogspot.com
Post a Comment
Jihad Al-Quran
0 comments: